Skip to main content

kata Aluan

encik muhazam bin mansor

Penaung Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)
merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar-Pendaftar Universiti Awam (JKPUA) 2026

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia (HPUA) 2026 yang dianjurkan bersekali dengan detik bersejarah Jubli Perak (25 Tahun, 2001-2026) Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Selaku Penaung MASTI merangkap Penasihat Program serta Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam Malaysia (JKPUA), saya berasa amat bangga melihat keutuhan solidariti dalam kalangan Pentadbir dari seluruh universiti awam di Malaysia. Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan sekadar entiti penyokong kepada kelancaran operasi universiti, malah merupakan tulang belakang dan rakan strategik yang memacu kecemerlangan institusi seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pemilihan tema "Menyulam Aspirasi Menjulang Profesionalisme Pentadbir" pada tahun ini amat bertepatan dengan kematangan suku abad usia MASTI. Pentadbir universiti kini berhadapan dengan landskap Pendidikan Tinggi yang semakin dinamik dan mencabar. Oleh itu, tahap profesionalisme, kecekapan tadbir urus dan kemahiran pengurusan perlulah sentiasa dipertingkat dan dilaksanakan dengan penuh integriti bagi memastikan universiti awam di Malaysia kekal berdaya saing di persada antarabangsa.

Saya amat menyokong inisiatif pelaksanaan pendekatan holistik menerusi program-program utama di bawah HPUA seperti Konvensyen Pentadbir, Anugerah Pentadbir Gemilang, Pameran Persatuan Pentadbir dan Program Tanggungjawab Sosial (VCORE). Pengisian ini bukan sekadar memfokuskan kepada Pembangunan bakat, perkongsian ilmu dan inovasi tadbir urus, malah turut mengangkat nilai empati melalui khidmat komuniti serta memberikan penganugerahan berprestij kepada tokoh Pentadbir yang telah menabur bakti melangkaui sempadan tugas hakiki.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kepimpinan MASTI, barisan ahli jawatankuasa penganjur serta Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM atas kejayaan dan kelancaran penganjuran program pada kali ini. Semoga penganjuran HPUA ini akan terus berkesinambungan dan kekal menjadi wadah yang menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga Pentadbir universiti awam untuk terus berbakti demi kemajuan agama, bangsa, dan negara.

Selamat Menyambut Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia 2026 dan Selamat Menyambut Jubli Perak MASTI!

Sekian, terima kasih.

MUHAZAM BIN MANSOR

Penaung Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)
merangkap
Pengarah Program dan Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam Malaysia (JKPUA) 2026

penaja & rakan strategik
© 2026 MASTI. All Rights Reserved.